Kekalahan 2-1 kepada Johor Darul Ta'azim II (JDT II) dalam pertembungan Liga Perdana di Ipoh, malam tadi, meleburkan rekod tanpa kalah PKNP FC selama tujuh bulan di halaman sendiri.

Namun, pengendalinya, Abu Bakar Fadzim, mengambil keputusan itu secara positif sambil berharap anak buahnya akan mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya selepas ini.

"Ini satu peringatan terbaik. Ini adat dalam bola sepak. Ini bukan pengakhiran dan ini perlawanan yang adil.

"JDT II datang dengan semangat yang tinggi tanpa tekanan kerana mereka tidak terlibat dalam saingan Piala Malaysia.

"Jelas, kami nampak sedikit keletihan, terutama pada separuh masa kedua.

"Selepas kami berjaya mendahului, namun JDT II menghukum sedikit kealpaan di bahagian pertahanan kami.

"Paling penting, kami harus melihat ke hadapan. Kami akan fokus kembali dengan perlawanan menentang Negeri Sembilan dalam Piala Malaysia, Selasa depan," ujarnya.

Turut disentuh ialah pertukaran venue perlawanan di Tanjung Malim setelah Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan Stadium Perak tidak memenuhi kriteria pertandingan.

"Kami perlu bersiap sedia dengan apa jua yang telah direncanakan.

"Perlawanan pula pada waktu petang, jadi kami kena sesuaikan diri dan mahu atau tidak, kami kena laluinya," katanya lagi.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT II, Benjamin Mora, turut berasakan keadaan padang di Stadium Perak tidak menepati piawaian.

"Ia berpasir.

"Kami perlu sesuaikan diri dengan taktikal jika beraksi di atas padang sebegini.

"Tetapi ia bukan alasan. Sebagai pemain bola sepak, kami kena sesuaikan diri kerana pada saya, ini bukan isu," ujarnya.