PKNP FC kini bergelar Perak II berikutan pengesahan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bahawa pasukan itu akan dijadikan pasukan simpanan kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Setiausaha PAFA, Tajul Hasnan Omar, ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya sudah menerima pengesahan MFL.

Menurutnya, tindakan memohon pertukaran status PKNP FC itu bertujuan untuk menyelamatkan pasukan berkenaan serta kerjaya pemain dan pegawainya berikutan ura-ura penutupan kelab itu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Atas rasa simpati kepada pemain dan pegawai pasukan itu, Presiden PAFA merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahukan penyatuan kedua-dua pasukan agar senang diurus tadbir oleh PAFA.

"Kini, pasukan itu diletakkan di bawah kuasa persatuan. Pemain akan memeterai kontrak baru dengan PAFA.

"Dalam erti kata lain, pemain buka buku baru musim depan," katanya.

Selain PAFA, turut mengambil langkah sama ialah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menukar status PKNS FC.

Justeru, bagi musim 2020, Kuala Lumpur dan PKNP FC akan turun ke Liga Perdana berdasarkan kedudukan mereka di tangga ke-11 dan 12 Liga Super.

Berdasarkan Peraturan Liga Malaysia Bahagian 1 Operasi Teknikal, perkara 1 (1.2) (a) mengenai penyertaan pasukan di dalam pertandingan Liga Super dan Liga Perdana, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan wakil Liga Perdana, Sabah dan PDRM, akan dinaikkan ke Liga Super musim 2020.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh PKNS FC pula akan diisi pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Perdana, UiTM FC.