PKNP FC berkelana lagi?

Oleh Hairi Yahaya 7 Oktober 2017 7811
PKNP FC berkelana lagi?
Mungkinkah PKNP FC akan mengakhiri episod Liga Perdana musim ini di luar Ipoh lagi berdasarkan desas-desus Stadium Perak akan ditutup selepas 15 Oktober bagi tujuan penambahbaikan sempena Sukan Malaysia (Sukma) September tahun depan?

Jika benar, punahlah hasrat peminat pasukan berstatus kelab ini untuk menyaksikan pasukan impian mereka mengakhiri musim gemilang di halaman sendiri menentang Terengganu, 27 Oktober nanti. 

Walaupun tidak dimuktamadkan secara hitam putih lagi, senario sebegini tetap memberi impak negatif kepada mereka yang terlibat secara langsung.

Memetik kata ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, "Menjadi tuan rumah adalah penghormatan kepada pasukan. Lazimnya, jiwa dan semangat pemain serta pengurusan ketika beraksi lebih tinggi.

"Walaupun ia perlawanan terakhir kumpulan, namun ia tetap penting bagi PKNP kerana kami ingin mengejar kedudukan podium (ketiga).  Namun, kami redha dan bersedia dengan apa jua kemungkinan," ujarnya.

Umum tahu bahawa PKNP kali terakhir beraksi di Ipoh ketika menentang JDT II, Jun lalu.

Selepas itu, skuad ini berkelana ke Stadium Proton, Tanjung Malim dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang kerana padang Stadium Perak ketika itu tidak menepati piawaian.

Paling mencuri tumpuan ialah kegagalan pasukan ini menghalang Felda United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia walaupun membawa bekalan 3-1, namun tumpas 4-1 di stadium 'tuan rumah' di Shah Alam.

Jika direnungkan kembali, jarak masa stadium Perak ditutup dengan hari perlawanan cuma 12 hari. Agak pelik dan boleh sekiranya pihak pengurusan stadium membuat kerja penambahbaikan secara berperingkat-peringkat jika ada hasrat untuk membantu PKNP.  Lagipun Sukma Perak hanya akan berlangsung pada September 2018.

Tapi apakan daya, hendak seribu daya, tidak mahu, nak kata apa?

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen