Berita gembira untuk penyokong setia The Red Warriors (TRW) apabila bekas kapten, Mohd Badhri Radzi atau Piya, mengesahkan akan menyertai semua skuad Kelantan mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.

Piya berkata keputusan untuk menyertai semula skuad kendalian Marko Karljevic itu dibuat selepas tertarik dan berpuas hati dengan tawaran yang dikemukakan oleh Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd terhadap isu tunggakan gaji yang dihadapinya sebelum ini.

"Terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRW, Fazli Mohammad dan Orrisa Baharom kerana sudi mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul sebelum ini.

"Sebagai tanda terima kasih di atas komitmen KRW, saya membuat keputusan untuk kembali menyarung jersi Kelantan.

Piya, yang pernah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013, bertekad ingin menamatkan kariernya sebagai pemain bersama pasukan TRW biarpun pernah disingkir oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), musim lalu.

"Perasan sayang saya masih tebal untuk berbakti kepada Kelantan.

"Saya tekad untuk memberikan aksi terbaik bagi mengembalikan semula maruah TRW yang masih mencari rentak dalam liga ketika ini," ujarnya.