"Bayarlah gaji pemain."

Itu gesaan bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas anak buah Yusri Che Lah itu mencurahkan segala jiwa dan raga demi negeri tercinta.

Ia menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) mencatat kemenangan 5-1 ke atas UKM FC dalam perlawanan ketiga Liga Perdana, kelmarin, tatkala barisan pemain dan jurulatih tidak bergaji sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, pemain dan jurulatih bekas juara 'treble' 2012 itu masih tidak menerima gaji penuh sejak April lalu.

"Seperti yang kita tahu, pemain muda Kelantan semuanya mahu (bersemangat) bermain bola sepak.

"Cuma mereka menghadapi masalah gaji, keluarga, bayar rumah dan kereta.

"Saya harap (KAFA) ambil serius kebajikan pemain. Mereka bukan tiada kualiti, cuma perkara itu dilayan seperti tiada apa (tidak penting).

"Pemain dah main (yang terbaik) untuk pengurusan tetapi mereka buat macam ini kepada pemain, kalau diikutkan memang perlu banyak fikir (panjang).

"Saya harap KAFA tolonglah pemain-pemain Kelantan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.


? AKSI SEPARUH MASA KEDUA #UKMFCvsKelantan #TheRedWarriors #TRW2020 #GomoKelateGomo #KembaliBangkit

Posted by Kelantan FA on Saturday, August 22, 2020


Masalah kewangan meruncing yang dialami KAFA juga menyukarkan kunjungan mereka ke tempat lawan yang menyaksikan pemain dan pegawai terpaksa menempuhi perjalanan menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur selama lapan jam.

Namun, ia bukan halangan buat Kelantan untuk meneruskan perjuangan demi maruah pasukan.

"Bagi saya memang tidak patut. Sebelum ini kami akan bertolak awal, sehari sebelum perlawanan untuk memastikan dapat makan dan rehat yang cukup.

"Peminat juga akan sangsi apakah pemain boleh beraksi dengan baik.

"Ia satu perjalanan yang jauh dengan dengan menaiki bas selama lapan jam. Perlu beraksi pada waktu petang pula itu di tambah tidak cukup rehat.

"Kalau boleh elakkanlah kunjungan ke tempat lawan dengan menaiki bas."