Pengumuman Datuk Peter Anthony yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) baru-baru ini pastinya melegakan pelbagai pihak kerana beliau berjanji akan menyelesaikan segala masalah kewangan yang dihadapi persatuan itu, termasuk gaji pemain yang tertunggak selama kira-kira lima bulan.

Bagaimanapun, bagi membolehkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjadi orang nombor satu SAFA atau mungkin sebagai presiden kehormat, ia memerlukan persetujuan daripada 26 ahli gabungan.

Sehubungan itu, satu kongres luar biasa SAFA akan diadakan esok bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk bagi mengisi jawatan-jawatan yang dikosongkan sebelum ini, selain pelantikan ketua jurulatih skuad utama skuad negeri itu, musim depan.

Ketika ditemui, Peter berkata beliau pada mulanya menolak untuk menerajui persatuan itu, namun selepas difikirkan dan demi melonjakkan semula arena bola sepak Sabah, beliau akhirnya menyahut cabaran itu.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil Pesuruhjaya Sukan untuk membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan perlembagaan persatuan itu.

"Ada beberapa jawatan penting yang perlu diisi selepas ia ditinggalkan, termasuk jawatan presiden. Bagaimanapun ia perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul, termasuk mendapat persetujuan daripada semua 26 ahli gabungan SAFA.

"Memang kita dengar banyak persoalan yang timbul tapi kita mengambil alih SAFA bukan semata-mata untuk menyingkirkan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam persatuan ini, ada jawatan yang kita perlu isi tapi ia terpulang kepada semua 26 gabungan SAFA," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pemain Sabah di pejabat SAFA, di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter berkata selain menyelesaikan masalah gaji pemain, masalah pengurusan juga perlu diatasi bagi memastikan segala operasi persatuan itu berjalan dengan baik pada masa akan datang.

"Masalah pengurusan SAFA ini telah berlarutan sejak sekian lama. Saya lihat persatuan ini tidak pernah maju ke depan, masalah-masalah kecil, makan minum, malah pejabat pun tidak mampu bayar.

"Mudah-mudahan, jika semuanya berjalan lancar, kita akan pastikan SAFA kembali ke landasan betul."