Datuk Peter Anthony kini sah sebagai pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) manakala Jelius Ating kekal sebagai pengendali skuad utama negeri itu, musim depan.

Pemilihan Peter itu dibuat selepas majoriti daripada 26 ahli gabungan persatuan itu mencapai persetujuan dalam kongres luar biasa (EGM) yang dipengerusikan Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Rahman Zakaria, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam sidang media khasnya selepas itu, Peter menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua ahli gabungan SAFA yang bersetuju dan menyokong beliau untuk menjadi pemangku presiden.

"Kesepakatan ini juga membolehkan pasukan Sabah terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Pada awalnya memang terdapat sedikit rintangan, namun saya memuji kesemua ahli gabungan kerana sanggup mengetepikan perbezaan pendapat demi menyelamatkan bola sepak negeri ini.

"Tujuan EGM ini diadakan sebenarnya bukanlah untuk merombak keseluruhan pucuk pimpinan SAFA tetapi kerana ada beberapa jawatan penting yang telah ditinggalkan perlu diisi," katanya.

Dalam perkembangan sama, tiga jawatan penting SAFA yang turut diisi bekas pemain negeri berkenaan, hari ini.

Andrew Majanggim dilantik setiausaha agung, Yap Wai Loon sebagai bendahari agung dan Henry Soimpon pula dilantik pengurus pasukan utama Sabah.

"Kami telah membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak 16 pemain sebagai permulaan dan selebihnya akan ditentukan oleh barisan pengurusan serta kejurulatihan.

"Banyak yang kami perlu lakukan bagi memastikan pasukan ini terus beraksi dalam Liga-M.

"Esok merupakan tarikh akhir pendaftaran pertama pemain.

"Banyak dokumen perlu diselesaikan segera, namun saya yakin kami dapat melakukannya," katanya.

Terdahulu, Peter mengumumkan 16 pemain yang dilanjutkan kontrak ialah Rawilson Batuil, Randy Baruh Samson, Jenius Karib, Dendy Lowa, Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa, Ummareng Bachok, Justin Samaan, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Mohd Azwan Fattah, Rahman Shah Marajeh, Mazlan Yahya, Rozaimie Rohim, Rendy Robson Rining, dan Mohd Sakri Masri.