Mengharungi detik sukar apabila Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat wabak Covid-19 dan sehingga kini negara masih dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemain pertahanan Kelantan, Mohamad Azwan Aripin memilih bidang keusahawanan bagi mencari rezeki tambahan.

Katanya, dia mengambil peluang untuk menjual baju melayu pelbagai warna menarik di dalam talian dengan harga yang berpatutan.

“Stok masih ada dan kepada peminat The Red Warriors (TRW) yang belum lagi membeli baju melayu untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang bolehlah layari instagram saya di alamat awe.outlet.

"Selain baju melayu, peminat juga boleh memilih t-shirt menarik untuk digayakan sepanjang sambutan hari raya nanti.

"Setakat ini sambutan cukup menggalakkan dan harap peminat terus menyokong perniagaan kecil saya yang berkonsepkan 'simple but style'," katanya.

Pertahanan kidal berusia 22 tahun itu memberitahu, dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami dan bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana yang dijangka disambung semula September depan.

"Saya melakukan latihan di rumah sepanjang PKPB ini demi mengekalkan tahap kecergasan diri.

"Terima kasih kepada semua penyokong setia TRW yang selalu bertanya khabar dan yakin terhadap perjuangan kami memburu slot ke Liga Super musim depan.

Kredit Foto: Koleksi Peribadi Azwan Aripin