Biarpun bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana, pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal Wan Noor, menyifatkan persiapan pramusim The Fighters bagi musim 2018 lebih rapi berbanding musim lalu.

Wan Zack menjelaskan pengendali Felda, B. Sathianathan, sudah merangka persiapan rapi buat pemain-pemain bagi menghadapi musim baru.

Bekas pemain Kelantan ini turut memberi jaminan bahawa setiap pemain tidak akan memandang mudah lawan dalam Liga Perdana.

"Setiap pemain mempunyai misi dan sasaran bagi menghadapi musim baru. Kami akan memberikan tumpuan beraksi dalam Liga Perdana dalam usaha untuk kembali beraksi ke Liga Super," katanya.

Kapten Felda, Shukor Adan, turut melontarkan pendapat yang sama serta menegaskan status sebagai pasukan Liga Perdana tidak harus menjadi penghalang buat Felda memberi cabaran kuat musim depan.

"Bukan satu tugas mudah beraksi dalam Liga Perdana, setiap pasukan akan memberikan yang terbaik ketika berdepan lawan tetapi kami dapat melihat setiap pemain masih lagi memiliki keazaman yang tinggi untuk membantu pasukan kembali ke Liga Super," katanya.