"Perlis mampu memberikan nilai tambah kepada Liga Malaysia (Liga-M)."

Demikian penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam, di sebalik keputusan memilih Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Di atas kertas, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki pencapaian lebih baik berbanding Perlis dalam saingan Piala FAM musim ini.

Mereka juga layak ke separuh akhir Piala Cabaran.

Namun, bukan itu kriteria yang dimahukan MFL, sebaliknya ia dilihat menerusi kekuatan yang dimiliki Perlis dalam meningkatkan nilai komersial Liga-M berdasarkan perancangan jangka panjang Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Bagaimanapun, MFL berjanji tidak akan meminggirkan isu tunggakan gaji pasukan itu dengan memberikan tempoh 60 hari untuk PFA menyelesaikan masalah tersebut atau geran mereka akan dipotong.

"Pemilihan itu dibuat berdasarkan pasukan yang mempunyai paling ramai pengikut dan mempunyai perancangan jangka panjang yang selari dengan matlamat MFL.

"Berdasarkan kajian yang kami jalankan, kami memilih Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana 2019," katanya.

Kevin dalam masa sama menasihatkan ATM agar tidak berputus asa memburu slot ke Liga Perdana bagi musim 2020.

Beliau mahu ATM memberikan cabaran dalam Piala FAM yang akan dikenali sebagai Liga M3 musim depan.

"ATM buat masa ini merupakan satu projek yang cukup baik dengan pasukan itu sedang menjalani proses pengkorporatan.

"Mereka juga sudah mendapatkan pelabur baru dan kami mengharapkan mereka lebih berjaya pada masa akan datang," tambahnya.

Sementara itu PFA menerusi kenyataan media hari ini, berjanji akan melunaskan gaji tertunggak yang melanda persatuan itu sebelum ini.

"Pengurusan Perlis Northern Lions akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain di bawah kepimpinan lama PFA.

"Walaupun ia bukan masalah kepimpinan baru, tetapi atas dasar tanggungjawab, kepimpinan sedia ada ini akan membantu menyelesaikan isu itu seperti yang dipersetujui semasa kongres.

"Kami berharap agar kemelut itu dapat diselesaikan secara harmoni bagaikan satu keluarga," kata kenyataan media berkenaan.