Hasrat Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan kelihatan akan menjadi kenyataan menerusi gambaran positif yang diperoleh daripada perjumpaan yang diadakan dengan Malaysia Football League (MFL), hari ini.

Perjumpaan itu turut dihadiri wakil Terengganu FC 2 (TFC 2) dan UKM FC.

Perlis menunjukkan minat yang tinggi untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas hilang dalam peta bola sepak Malaysia sejak 10 musim lalu.

Ia menerusi pengambilan pemain ternama dan usaha untuk menarik semula penyokong skuad Singa Utara itu ke stadium menjelang permulaan musim baru Liga Malaysia (Liga-M), Februari ini.

Kesungguhan Perlis tampak menarik perhatian MFL apabila mereka adalah antara pasukan yang hadir ke Wisma FAM untuk bertemu dengan badan pentadbir Liga-M itu.

"Pasukan yang dipilih untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan perlu mempunyai keupayaan untuk meningkatkan nilai Liga-M secara keseluruhan.

"Ia merangkumi komitmen, jumlah penyokong dan usaha-usaha yang dilakukan.

"Namun, kami bukan hanya perlu melihat ke depan, sebaliknya perlu melihat ke belakang juga," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Ia bermakna Perlis dan TFC 2 dinaikkan pangkat bagi mengisi dua kekosongan yang ditinggalkan Terengganu City FC (TCFC) dan Kuantan FA dalam Liga Perdana.

Rayuan UKM FC untuk kekal dalam liga itu turut diterima MFL.

"Pihak sekretariat perlu memastikan kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang keputusan yang dibuat.

"Kami perlu memastikan pelaksanaan kepada perancangan-perancangan yang dilakukan tidak terjejas ekoran isu-isu seperti pembayaran tertunggak dan sebagainya," tambahnya.

Keputusan rasmi mengenai senarai pasukan yang akan bertanding dalam Liga Perdana musim depan dijangka diketahui esok.