Pengendali skuad Sabah, Jelius Ating, menegaskan kesemua pemain yang disenaraikan Sang Badak bagi menghadapi musim baru nanti berpeluang menjadi tonggak utama sekiranya mereka membuktikan kesungguhan serta kebolehan.

"Bagi saya senior atau junior bukan menjadi perkiraan. Mana-mana pemain yang beraksi dengan baik dan mempamerkan kesungguhan, dia akan diberi keutamaan.

"Kita perlu bersikap adil kepada semua pemain. Bagaimanapun, saya berharap pemain-pemain muda yang menyertai skuad utama Sabah ini akan mempelajari sesuatu daripada pemain-pemain senior dan diharapkan mereka terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam masa sama, Jelius turut memuji pemain-pemian muda pasukan berkenaan yang beraksi dengan baik dalam aksi persahabatan bertemu Barracuda FC di Keningau, Ahad lalu.

"Mereka menunjukkan kesungguhan dan membuktikan mereka juga boleh bermain sehingga mencatat kemenangan," ujarnya.

Dalam perlawanan itu, Jelius merehatkan hampir kesemua tonggak utamanya untuk memberi peluang kepada pemain muda dan kepercayaan itu dibalas dengan kemenangan 3-0.