Pemain skuad The Red Warriors (TRW) masih menunggu isyarat daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk kembali menjalani latihan di padang.

Ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata sehingga kini beliau masih belum menerima arahan daripada KAFA untuk memanggil kesemua pemain dan dimaklumkan bahawa pihak pengurusan sedang menguruskan dokumen yang diperlukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi tujuan latihan pasukan.

"Mungkin dalam masa terdekat atau bulan depan kami akan mendapat kelulusan kembali menjalani latihan berikutan telah banyak pasukan yang bersaing dalam Liga-M diberikan kebenaran oleh MFL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjalani latihan di padang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut Yusri, beliau tidak sabar untuk kembali bertemu para pemain setelah hanya berkomunikasi melalui media sosial ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

"Rata-rata pemain juga tidak sabar untuk turun ke padang selepas sekian lama bercuti dan hanya menjalani latihan secara individu," katanya.

MKN memberikan kebenaran untuk pasukan bola sepak memulakan latihan bermula 15 Jun lepas dengan mengikut SOP ditetapkan.

Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata 16 pasukan Liga-M, masing-masing lapan pasukan Liga Super dan Liga Premier, mendapat kelulusan daripada MFL untuk mengadakan sesi latihan fasa pertama.

Pasukan berkenaan mendapat lampu hijau selepas mematuhi SOP digariskan MFL antaranya menyerahkan laporan keputusan ujian swab, venue latihan berdaftar yang sudah melalui proses sanitasi dan pelantikan pegawai penyelaras bagi memantau pematuhan SOP di padang terbuka.

-- BERNAMA