"Ingatkan sambutan Aidilfitri sahaja suram, sambutan Aidiladha pun sama."

Itu kekecewaan yang membelenggu barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan apabila tunggakan gaji mereka masih gagal dijelaskan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sehingga kini.

"Kami tangguh dulu (proses aduan) dan beri masa kepada pengurusan.

"Kami akan terus menjalani latihan seperti biasa, kalau tiada juga pembayaran maka saya terpaksa buat aduan.

"Sekarang saya terpaksa guna wang simpanan," kata pemain Kelantan FA, Nazrin Nawi, kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

Posted by Kelantan FA on Monday, July 20, 2020


Itu luahan pemain sayap The Red Warriors berkenaan yang sudah tidak mampu menanggung penderitaan dan janji manis majikannya mengenai isu gaji.

Difahamkan, terdapat syarikat yang berminat untuk menaja pasukan itu tetapi menjadi tidak menentu susulan keengganan Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, meletakkan jawatan.

Mungkin situasi boleh menjadi lebih baik buat pasukan itu jika Afandi memilih untuk mengikut jejak Presiden KAFA, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, yang mengundurkan diri.

"Kami faham tunggakan Mac lalu adalah disebabkan COVID-19, tetapi bulan-bulan selepas itu sehingga kini, gaji kami masih belum dibayar.

"Ini disebabkan sumber yang membayar gaji kami telah meninggalkan pasukan, jadi saya tidak tahu apa KAFA akan buat selepas ini."