Pemain, jurulatih TFC II setuju potong gaji

Oleh Tengku Danish Bahri 22 April 2020 59
Pemain, jurulatih TFC II setuju potong gaji
Bagi mengurangkan impak kewangan susulan penangguhan saingan liga, barisan pemain dan pegawai skuad Terengganu FC (TFC) II bersetuju untuk membuat pemotongan gaji.

Menurut pengendali TFC II, Roshadi Wahab, kata sepakat itu dicapai bersama pihak pengurusan dan dilakukan berdasarkan tangga gaji pemain dan pegawai.

Pengurangan sebanyak lima hingga 30 peratus bermula April katanya akan dikenakan sambil menjelaskan perbincangan itu berjalan lancar tanpa sebarang salah faham.

"Kami sudah bersetuju dengan pemotongan gaji bermula lima hingga 30 peratus mengikut gred gaji masing-masing, bermula bulan ini sehingga tamatnya wabak Covid-19 .

"Situasi semasa menuntut penyelesaian yang adil serta menang-menang supaya tidak menjadi berat sebelah," tambah Roshadi.

Isu pemotongan gaji mula mendapat perhatian badan induk bola sepak negara dan penganjur ekoran penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak lebih sebulan lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan hari ini (22 April) sebagai tarikh akhir kepada semua pasukan mencapai persetujuan dengan pemain mengenai isu itu.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen