Biarpun kurang berpuas hati dengan persembahan awang import ketika Kelantan seri 1-1 dengan Nara United FC, minggu lalu, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, masih memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan sesuatu dalam aksi persahabatan menentang Perlis United di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

"Kali ini, saya berikan peluang kedua untuk pemain import beraksi bersama pemain tempatan dan menunjukkan 'sesuatu' ketika menentang skuad Liga M3 malam ini.

"Saya harap mereka dapat cari keserasian bermula dari awal permainan lagi. Tidak seperti aksi yang ditunjukkan ketika menentang Nara United minggu lalu," katanya kepada media.

Pengendali kelahiran Perlis itu juga mengakui masih mencari calon penyerang import terbaik untuk mengatasi masalah kebuntuan jaringan yang membelenggu skuad Pantai Timur itu musim lalu.

"Saya akui mereka (penyerang import) masih gagal untuk menyesuaikan diri dan ketandusan jaringan sepanjang aksi persahabatan sebelum ini.

"Saya juga menerima kritikan daripada penyokong tentang isu ini, namun saya mengharapkan kedua-dua pihak (pemain dan penyokong) faham tentang tugas dan tanggungjawab masing-masing supaya memudahkan saya menjalankan tugas," katanya.

Untuk rekod, TRW sedang menguji empat calon import, termasuk dua penyerang, Felix Chidi Odili (Nigeria), dan Rhulani Manzini dari Afrika Selatan.

Varney Kallon Kiatamba dari Liberia pula mencuba nasib di posisi pertahanan manakala bekas pemain tengah Pulau Pinang, Kang Seung-Jo, juga mahu memikat hati Yusri.


Kredit Foto: Kelantan FA



Editor: Shaiful Shamsudin