Peluang Jelius uji pemain import

Oleh Willie Jude 8 Disember 2017 978
Peluang Jelius uji pemain import
Pengendali Sabah, Jelius Ating, akan mengambil peluang untuk menguji dua pemain import serta beberapa pemain tempatan dalam aksi persahabatan dengan pasukan dari Indonesia, PPLM Bina Sentra, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Dua pemain import yang kini masih dalam ujian pemilihan bersama Sang Badak ialah Geison Moura dari Brazil dan pemain dari Ivory Coast, Ballo Famoussa.

"Aksi persahabatan ini memberi peluang kepada saya untuk melihat sejauh mana kualiti mereka. Walaupun mereka masih baharu, terutama Ballo yang baru sampai semalam, sekurang-kurangnya saya boleh nampak sedikit-sebanyak kemampuan mereka esok.

"Selain itu, kami juga akan menurunkan beberapa pemain tempatan yang baru menyertai latihan dan kemungkinan besar juga Mafry Balang serta Ronny Harun akan turut beraksi," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata beliau akan memulakan perlawanan esok dengan pemain sedia ada, namun turut menurunkan pemain baharu bagi melihat persefahaman dalam kalangan mereka.

Perlawanan pada jam 8 malam itu adalah aksi pra-musim pertama Jelius selepas dikekalkan sebagai ketua jurulatih Sang Badak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Setakat ini, hanya tiga pemain import yang telah mengesahkan tempat mereka dalam pasukan, iaitu dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, yang dikekalkan daripada musim lalu serta pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, yang kembali ke pangkuan pasukan selepas mengalami kecederaan panjang, sebelum ini.

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen