PDRM 2 UKM FC 2

PDRM FC dan UKM FC masing-masing sekadar membawa pulang satu mata selepas terikat 2-2 dalam saingan Liga Perdana 2018 di Stadium Shah Alam, malam tadi.


PDRM, yang berada di bawah bimbingan Zulhamizan Zakaria, turun dengan harapan memburu kemenangan ketiga berturut turut dan melayan kunjungan UKM FC yang sebelum ini kempunan meraih kemenangan dalam empat perlawanan terdahulu.

Tuan rumah dilihat menguasai perlawanan dalam usaha memburu gol pembukaan dalam separuh masa pertama.

Beberapa asakan berbahaya singgah ke kubu lawan, namun tiada penyudah berkesan berjaya dihasilkan sebelum kapten PDRM, Shahurain Abu Samah, akhirnya meledakkan gol pertama pasukan ketika aksi babak pertama hampir ditamatkan.

Bersambung dalam separuh masa kedua, UKM tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-48 apabila Faiz Hanif Adnan menyempurnakan peluang di hadapan gol untuk menghasilkan jaringan.

Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan saling melakukan asakan sebelum pelawat menggandakan jaringan, sekali lagi menerusi Faiz pada minit ke-65.

Bagaimanapun, kegembiraan UKM tidak bertahan lama apabila tuan rumah mengikat kedudukan 10 minit kemudian hasil sepakan daripada Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi.

Kedua-dua pasukan meraih beberapa peluang di hadapan gawang untuk menambah jaringan dalam 10 minit terakhir, namun tidak berjaya disempurnakan dan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

"Kami memiliki hampir enam peluang keemasan tetapi tidak disudahkan. Inilah bola sepak. Kadangkala, kami dapat menjaringkan gol tetapi malam ini hanya ditakdirkan untuk seri," ujar Zulhamizan.

"Bagi saya, jaringan yang diraih PDRM adalah gol mudah, sama seperti pertemuan sebelum ini di Selayang.

"Kami harus mula mengutip mata, itu yang penting," kata ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.



Kredit foto: Facebook Football Malaysia LLP