Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MQ Technology Bhd bagi menubuhkan sebuah syarikat yang akan menguruskan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata MoU itu ditandatangani bagi penubuhan syarikat ‘The Red Warriors Sdn Bhd’ yang akan menguruskan pasukan Kelantan.

"Dalam syarikat The Red Warriors, KAFA pegang 30 peratus dan selebihnya saham dipegang MQ Technology Bhd.

"Pihak MQ Technology Bhd, yang merupakan sebuah syarikat perusahaan saham, juga telah menyuntik RM3 juta sebagai modal permulaan kepada syarikat The Red Warriors," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Kota Bharu, hari ini.

MoU itu ditandatangani Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dan Pengarah Eksekutif MQ Technology Bhd, Tong Sian Shyen, disaksikan kepimpinan KAFA.

Afandi berkata dengan perjanjian itu,MQ Technology Bhd juga bersetuju menyumbang RM200,000 kepada KAFA dan digunakan untuk membayar gaji pemain.

"Dana sagu hati ini kami akan gunakan dan agihkan sepenuhnya kepada pemain sebelum perlawanan menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Sabtu ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut memberikan perhatian terhadap kes-kes mahkamah yang dibawa oleh bekas pemain dan pegawai pasukan Kelantan.

"Kami tidak lari daripada tanggungjawab itu, kami akan menyelesaikannya bagi mengelakkan pelbagai masalah lain yang bakal dihadapi.

"Begitu juga jawatankuasa penajaan kami yang berkerja keras untuk mencari tajaan (bagi tujuan) mengukuhkan kewangan untuk saingan musim depan," katanya.

-- BERNAMA