Ketika ini saingan Ligue 1 Perancis adalah liga pertama Eropah yang menamatkan terus saingan, gara-gara pandemik Covid19.

Paris Saint-Germain yang mendahului saingan dengan 68 mata selepas 27 perlawanan, diumumkan sebagai juara musim ini.

Dengan kata putus mengenai Ligue 1 sudah diputuskan, terdapat cadangan untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) mengikut jejak sama.

Bagi bekas penyerang Aston Villa, Juan Pablo Angel, dia lebih memilih untuk saingan EPL ditamatkan dengan melengkapkan kesemua perlawanan.

"Pada saya, FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) perlu memberi keutamaan untuk memastikan setiap liga menamatkan jadual perlawanan mereka.

"Selain soal tajaan, saya percaya ia tidak adil buat sebahagian besar pasukan jika liga ditamatkan pada penghujung musim tanpa melengkapkan jadual perlawanan.

"Tidak mengapa jika liga ditamatkan lebih lewat, atau semua aksi membabitkan skuad kebangsaan ditunda kerana keutamaan ialah menamatkan saingan liga domestik, “kata Angel ketika ditemubual Stadium Astro untuk rancangan Squeky Bum Time.

Mungkin ada kebenaran mengenai hujah Angel kerana, selain memberi keadilan sama rata buat setiap kelab yang merebut tempat ke Eropah, ia juga penting buat pasukan di zon penyingkiran.

Dalam pada itu, Angel yang beraksi bersama Villa dari 2001 hingga 2007 mempunyai pilihan tersendiri apabila ditanya siapa pertahanan Inggeris paling sukar buatnya di EPL.

Bukan John Terry, Rio Ferdinand atau Sol Campbell tetapi bekas pertahanan Tottenham Hotspur, Ledley King adalah pertahanan terbaik pada pengamatan Angel.

“King mempunyai corak permain berbeza dengan pertahanan Inggeris lain, dia bijak membaca permainan serta tidak melakukan terjahan merbahaya kepada lawan tetapi tetap seorang pertahanan kental.

“Dia mungkin tidak bernasib baik dengan masalah kecederaan yang dialami yang mungkin membataskan potensi sebenarnya.

“ Tetapi bagi saya, King adalah pertahanan Inggeris terbaik di EPL ketika saya bersama Villa,” kata Angel.