Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, melahirkan kelegaan apabila menyaksikan pasukannya melayakkan diri ke Liga Super selepas menewaskan Sabah 2-0 dalam Liga Perdana di Stadium Selayang, semalam.

"Saya memberitahu pemain agar menunjukkan komitmen tinggi jika mahu menjadi juara.

"Sudah tentu kami ada satu lagi perlawanan untuk mengesahkan kedudukan juara tetapi objektifnya (layak ke Liga Super) sudah terlaksana," katanya.

Hanya kemenangan mampu menjamin Kuala Lumpur layak ke Liga Super memandangkan mereka mempunyai kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, PKNP FC.

Namun, mereka dilihat beraksi sedikit tertekan apabila banyak membiarkan Sabah melakukan beberapa percubaan berbahaya.

Penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim, cemerlang menampan keluar percubaan pemain import Sabah, Heo Jaenyong, pada minit ke-12.

Seminit kemudian, dia sekali lagi menafikan hajat Sabah apabila menyelamatkan tandukan ketua pasukan, Rawilson Batuil, yang berpunca daripada sepakan sudut.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak Liga Perdana, Guilherme de Paula, memastikan Kuala Lumpur di depan pada minit ke-14 hasil tindakan susulan percubaan pertama yang sebelum itu diselamatkan Rozaimie Rohim.

Suasana makin ceria di Selayang sebaik Kuala Lumpur menggandakan kedudukan pada minit ke-55, sekali lagi melalui De Paula yang menyentuh bola sepakan percuma yang diambil Paulo Josue.

Hasrat Sabah untuk merapatkan jurang pada minit ke-62 tidak kesampaian ekoran jaringan Rodoljub Paunovic tidak disahkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memastikan Kuala Lumpur menamatkan penantian lima tahun untuk ke Liga Super.

"Saya harus memberi pujian kepada pemain saya kerana berusaha bersungguh-sungguh dan bermain baik pada hari ini.

"Saya juga mahu mengucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur kerana layak beraksi dalam Liga Super," kata jurulatih Sabah, Jelius Ating.

Kuala Lumpur kini berada di tangga teratas, dibezakan dengan jumlah jaringan berbanding skuad di tempat kedua, Terengganu.

Skuad itu akan berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) dalam perlawanan terakhir Liga Perdana pada 27 Oktober ini.