Penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, yang berkelana di Thailand, sanggup menolak tawaran dua kelab Liga Super untuk menyertai Sarawak United.

Bekas penyerang BG Pathum itu mendedahkan mengenai seorang individu yang berjaya tarik minatnya beraksi dalam Liga Perdana, musim depan.

"Tujuan saya kembali ke Malaysia, saya perlu menyelesaikan hal peribadi terlebih dahulu dan mahu beraksi dalam Liga Malaysia," kata Norshahrul.

"Proses perbincangan dengan pasukan Sarawak berjalan dengan lancar dan dua tawaran daripada kelab daripada Liga Super -- saya mengucapkan terima kasih kepada mereka dan jika diberikan peluang, saya mungkin menyertai mereka pada masa akan datang.

"Jurulatih Sathianathan merupakan antara faktor saya memilih untuk bekerjasama dengan beliau sekali lagi. Ia merupakan sasaran kami untuk membawa pasukan ke Liga Super."

Pengarah Teknikal Sarawak United, B. Sathianathan, mengesahkan kehadiran Norshahrul yang bakal memperkuatkan pasukan nampaknya memiliki misi jelas musim depan.

"Norshahrul telah menandatangani kontrak bersama Sarawak dan beberapa pemain akan bersama Sarawak dan bakal memainkan peranan yang penting dalam pasukan," katanya.