Bekas pemain tengah Kelantan, Mohd Noor Hazrul Mustafa, mengakui cabaran untuk mengembalikan Negeri Sembilan ke saingan Liga Super menjadi faktor utama mengapa dia mengambil keputusan mengikat kontrak setahun bersama skuad Liga Perdana itu musim depan.

“Terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yang masih mempercayai bakat dan kemampuan saya. Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik untuk membantu skuad Hoben Jang Hoben ini kembali beraksi dalam Liga Super musim 2018.

“Sudah tentu cabaran dan saingan dalam Liga Perdana juga cukup mencabar. Semua pasukan membuat persiapan rapi untuk merebut tempat ke saingan Liga Super,” katanya.

Noor Hazrul juga mengakui pengalaman selama dua tahun beraksi bersama The Red Warriors (TRW) cukup mematangkannya dalam permainan biarpun saingan untuk merebut kesebelasan utama cukup sengit.

“Kalau dibandingkan musim lepas, tahun ini saya lebih banyak diberi peluang turun beraksi membantu TRW mengharungi kempen Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Biarpun sedikit kecewa kerana gagal membantu TRW mara lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia tahun ini, secara peribadi saya berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan.

"Saya percaya keputusan untuk menyertai skuad Negeri Sembilan musim depan adalah pilihan terbaik untuk meningkatkan lagi prestasi,” katanya.

Noor Hazrul yang juga bekas pemain Perak berharap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dapat menyelesaikan segala masalah yang dihadapi, terutama yang berkaitan dengan kebajikan pemain.

“Saya harap bekas majikan saya, KAFA, dapat selesaikan segala isu yang melanda, terutama yang melibatkan kebajikan pemain.

“Terima kasih juga kepada penyokong setia TRW yang sentiasa berdiri teguh di belakang kami biarpun prestasi pasukan kurang memberangsangkan. Saya sangat menghargainya,” katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan sekadar berada di tangga keenam dalam saingan Liga Perdana dan tersingkir di peringkat suku akhir kepada Kedah dalam kempen Piala Malaysia.