Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, tidak terfikir untuk berhijrah ke pasukan lain musim ini dan masih mahu meletak fokus utama membantu skuad kendalian Yusri Che Lah itu menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.

Nik Akif Syahiran enggan dilema itu mengganggu prestasinya demi masa depan kariernya bagi musim akan datang.

"Saya tiada masalah, saya tidak bawa isu luar ke dalam padang, saya sudah beritahu jurulatih bahawa ia tidak merisaukan saya.

"Tipulah kalau perkara ini tidak memberi kesan tetapi kami sudah terbiasa dengan isu ini sejak tahun lalu lagi.

"Kami bermain demi masa depan, mana tahu tahun depan ada pasukan yang mahukan khidmat kami.

"Kami buat untuk diri sendiri," katanya sejurus kemenangan bergaya 5-1 ke atas UKM FC bagi perlawanan ketiga Liga Perdana musim ini.

Biarpun hanya menjalani satu aksi pemanas badan selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan pasukan mengadakan persiapan pertengahan Jun lalu, Muhamad Hakimi Abdullah, yang mencipta jaringan hatrik hari ini menjelaskan semangat dan nasihat daripada Yusri membantu mereka untuk meraih kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

"Kami belum cukup kesefahaman kerana kurang persediaan tetapi kami cuba ikut arahan jurulatih dan mengusahakannya dengan kemampuan yang ada, Alhamdulillah saya dapat memberikan yang terbaik di atas padang," katanya pula.