Nik Akif kekal bersama Kelantan musim depan

Oleh Bernama 30 Oktober 2019 3658
Nik Akif kekal bersama Kelantan musim depan
Pemain tengah pasukan The Red Warriors (TRW), Nik Akif Syahiran Nik Mat, kekal bersama pasukan itu dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, berkata pemain muda terbabit masih bersama pasukan itu berikutan mempunyai kontrak sehingga musim 2021.

"Dia (Nik Akif) antara pemain tempatan musim ini yang kekal bagi memperkuatkan pasukan menghadapi cabaran Liga Malaysia, terutama Liga Perdana.

“Latihan pasukan akan bermula 3 November ini bagi mempersiapkan pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan pemain muda yang meningkat naik itu bakal meninggalkan pasukan Kelantan untuk menyertai pasukan baru bagi saingan musim 2020.

Husin berkata ketika ini pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan pasukan sedang melakukan penilaian terhadap pemain import bagi memperkuatkan pasukan.

"Kami akan mendapatkan khidmat empat pemain import bagi memenuhi kuota empat pemain asing yang dibenarkan kepada pasukan Liga Perdana, namun posisi mereka bergantung kepada keperluan pasukan dan bajet persatuan.

"Kami tidak mahu tergesa-gesa dalam pemilihan pemain import supaya kami memperoleh pemain yang mempunyai kualiti bersesuaian dengan bajet yang kami ada.

Menurutnya, pihak pengurusan dan barisan jurulatih melakukan penilaian terhadap pemain yang bermain dalam Liga Thailand dan Indonesia bagi mendapatkan kuota pemain import bagi kuota Asean.

"Liga dua negara itu agak tinggi kualiti berbanding negara Asean lain, kami boleh melihat kemampuan sebenar pemain ketika liga kedua-dua negara berlangsung," katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen