Nidzam Adzha sasar Liga Super 2021

Oleh Penulis Jemputan 24 Disember 2019 1775
Nidzam Adzha sasar Liga Super 2021
Pengendali baru Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, mempunyai misi jelas untuk mengembalikan kegemilangan skuad Warga Kota itu dengan menjuarai Liga Perdana musim depan, sekali gus membawa mereka kembali ke kancah Liga Super menjelang 2021.

Kuala Lumpur benar-benar mahu kembali ke Liga Super secepat mungkin dengan membawa masuk 16 muka baru bagi memperkuatkan pasukan.

Mengenai pemilihan pemain import, dia enggan terburu-buru dalam menamakan pemain dan ketika ini hanya Paulo Josue dikekalkan sambil penyerang yang dibawa daripada Melaka United, David Angan, masih dalam tempoh percubaan.

Kuala Lumpur baru sahaja tiga minggu menjalani latihan di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Kedah itu untuk persiapan musim 2020.

"Itulah perancangan persatuan, kalau boleh kami tidak mahu dapatkan pemain import dalam jendela perpindahan kedua. Jadi, memang kami beri sedikit ruang kerana Liga Malaysia akan bermula Februari depan. Masih ada masa untuk mendapatkan tenaga import," katanya.

Skuad Warga Kota itu juga tidak ketinggalan dalam proses mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan pramusim dengan Vietnam dan Korea Selatan dalam perancangan destinasi mereka.

Dua tahun lalu, mereka pernah menjuarai Liga Perdana musim 2017 ketika dibimbing jurulatih dari Brazil, Fabio Marciel.

"Daripada segi pengurusan memang ada membuat usaha untuk segera kembali dalam Liga Super. Jadi, saya teruja dengan idea itu dan sedia menggalas cabaran itu," ujar pertahanan Kuala Lumpur, S. Subramaniam.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen