Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof, menganggap gandingan di sebelah kanan kurang menjadi biarpun berjaya mencetak kemenangan pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Nidzam Adzha tidak rela dibuai kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan itu, sebaliknya menuntut anak buahnya supaya fokus memperbaiki kelemahan bagi memastikan kedudukan yang baik dalam Liga Perdana musim ini.

"Dalam separuh masa kedua, barulah kami bermain (mempamerkan rentak sebenar).

"Walaupun mendapat gol ketiga agak lewat dan kalau ia berlaku lebih awal, mungkin lebih mudah (untuk memenangi perlawanan ini)," katanya sejurus perlawanan berakhir.

Tambahnya, pemain import, Nicolas Dul, yang menggantikan tempat Zhafri Yahya -- dilanda kecederaan -- di bahagian tengah dilihat masih belum bersedia untuk menerima tugasan tersebut.

Perkara itu perlu dilihat dengan lebih serius bagi mengelakkan terlepas tiga mata seterusnya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

"Saya berasakan Nicolas belum sedia untuk beraksi."

Dalam pada itu, jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun, menjelaskan mereka tidak perlu panik dengan dua kekalahan awal musim ini selepas tewas kepada JDT II dan Kuala Lumpur.

Bekas pembimbing pasukan Piala Presiden itu mengakui dua kad kuning yang dikutip Danial Hadri Effendi Jagan dalam perlawanan itu telah merencatkan permainan mereka.

"Sebaik mungkin kami mahukan kemenangan pada awal musim ini untuk meningkatkan moral tetapi kami tewas.

"Namun, saingan masih awal dan kami berpeluang dalam 16 perlawanan lagi.

"Saya harap kami dapat perbaiki prestasi," katanya.