Negeri Sembilan sedia terima sebarang keputusan 

Oleh Bernama 27 April 2020 293
Negeri Sembilan sedia terima sebarang keputusan 
Negeri Sembilan akan menerima sebarang keputusan berhubung status Liga Malaysia 2020 sama ada disambung atau dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua jurulatih, Sazali Saidun, berkat beliau yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan membuat keputusan terbaik berhubung status liga itu selepas menerima saranan daripada kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jika diteruskan, saya faham terhadap kepentingan kepada bola sepak tanah air kita dan jika dibatalkan, ia adalah mengambil kira soal keselamatan yang perlu jadi keutamaan.

"Sekarang ini, kes COVID-19 semakin menurun dan saya rasa perkara ini juga kita kena teliti, cuma yang jadi masalah utamanya sekarang perkara-perkara seperti pergerakan selaku pasukan pelawat, mungkin akan jadi cabaran utama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Sementara itu, Sazali melihat penangguhan Liga-Malaysia memberi hikmah tersendiri kepada pasukan kendaliannya yang mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Skuad Rusa sekadar meraih satu kemenangan selepas empat perlawanan, sekali gus menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan.

"Situasi COVID-19 ini memberikan saya sedikit kelegaan dalam memperbaiki serta mencatur kembali strategi pasukan, untuk tempoh akan datang, jadi saya akan gunakan tempoh yang ada ini bagi mengkaji kelemahan tertentu, terutama di bahagian pertahanan yang jadi masalah utama pasukan.

"Mereka banyak melakukan kesilapan mudah serta gagal bertahan dengan baik, yang banyak meragut peluang pasukan untuk meraih kemenangan,” jelas Sazali yang merupakan bekas jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan saingan Liga Malaysia tidak boleh dianjurkan buat sementara waktu walaupun selepas tempoh PKP ditamatkan.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 16 Mac lalu dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen