Pertahanan kental Kelantan United FC (KUFC), Ahmad Nazri Muhamad terpaksa melupakan aksi saingan Liga Malaysia musim ini selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.

Dia mengalami kecederaan itu ketika mengejar bola hantaran penyerang import, Alfusainey Gassama dalam pertembungan ketiga aksi Liga Perdana menentang Kelantan FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Mac lalu.

Setiausaha eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata penilaian berterusan dari pihak fisioterapi kelab serta ujian dari pakar perubatan mengesahkan tiga elemen utama di bahagian lutut pemain itu cedera dan memerlukan pembedahan segera.

"Setelah melalui perbincangan bersama, Nazri telah menjalani pembedahan pertama pada 2 Jun lepas, diikuti pembedahan meniscus, empat hari berikutnya selepas didapati ada bahagian yang terkoyak.

"Kos pembedahan pemain itu ditanggung syarikat insuran yang kita daftarkan pada awal musim selaras dengan syarat utama pendaftaran pemain oleh pihak Malaysia Football League (MFL).

"Jika berdisiplin menjalani tempoh rehabilitasi yang disarankan pakar, penyembuhan mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk dia kembali beraksi di atas padang.

"Pihak kelab sentiasa menjaga kebajikan pemain dan kita harap Ahmad Nazri dapat kembali dengan lebih baik setelah selesai menjalani pembedahan penting beberapa hari lalu",ujarnya.

Kredit Foto: KUFC