Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menagih simpati daripada orang ramai dengan memohon derma untuk menyelesaikan 'hutang' bekas pemain import, Cassio, akhirnya dilihat 'memakan diri'.

Ia kerana persatuan itu dicemuh dengkan pelbagai kata-kata kesat oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air meskipun ia dilakukan bukan bertujuan untuk 'mengemis'.

Dilabel sebagai persatuan yang tidak bermaruah oleh peminat sendiri, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan sambil menyatakan tindakan itu dilakukan atas pelbagai faktor.

"Bagi saya, kami bukan pengemis tetapi dalam peringkat terdesak. Jadi, perlu minta bantuan dan akhirnya mencapai sepakat sebelum melakukan perancangan lain. Kami lakukannya agar tahu penyokong setia dan sayangkan pasukan," katanya.

Terdahulu, KAFA diarahkan FIFA untuk melunaskan tunggakan gaji Cassio yang berjumlah RM629,000.28.

Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu, KAFA berdepan hukuman berat oleh badan induk bola sepak dunia itu.

"Saya difahamkan FAM akan memotong mata sambil FIFA melarang kami aktif dalam tiga jendela perpindahan. Jadi, kami mengambil tindakan selamat daripada sebarang hukuman."