Musim paling getir UiTM FC -- Mustaza

Oleh Shaiful Shamsudin 22 Oktober 2016 8
Musim paling getir UiTM FC -- Mustaza
Pengurus UiTM FC, Mustaza Ahmad, menganggap saingan musim ini adalah yang paling getir pernah dihadapi mereka apabila terpaksa mengharungi perlawanan terakhir sebelum mengesahkan kekal dalam Liga Perdana, musim depan.

Perlawanan malam tadi menyaksikan skuad Skuad The Lions Troops bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam Sabah 2-1 di Stadium Likas, sekali gus mengelak daripada tercicir ke 'divisyen tiga' musim depan.

"Inilah musim yang paling getir pernah kami alami. Jika sebelum ini perlawanan terakhir tidak membawa sebarang makna kerana kami lebih awal kekal (dalam Liga Perdana), namun musim ini perlawanan terakhir menjadi sangat mendebarkan.

"Saya memuji semangat yang ditunjukkan pemain-pemain, mereka bermain bersungguh-sungguh serta mematuhi arahan taktikal yang diberikan jurulatih," katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Mustaza turut mendedahkan berlaku sedikit perselisihan faham dalam kalangan pemain di dalam bilik persalinan sebelum babak kedua bersambung.

Katanya, perselisihan itu berpunca daripada salah faham berhubung posisi dan taktikal yang diarahkan jurulatih.

"Bagaimanapun, kami tenangkan mereka dan kami berkata kepada pemain, UiTM FC adalah satu-satunya pasukan universiti yang beraksi dalam Liga Malaysia dan kami perlu kekal dalam Liga Perdana musim depan.

"Selepas itu, kami beraksi lebih baik dalam separuh masa kedua, malah turut meledak dua gol untuk mencapai kemenangan."

Tambah beliau, UiTM FC juga bernasib baik apabila berjaya menewaskan Sabah walaupun pasukan tuan rumah memiliki banyak peluang baik.

Kemenangan malam tadi juga membolehkan UiTM FC memintas ATM di tangga ke-10 selepas pasukan berkenaan tewas 3-2 kepada Perlis, petang semalam.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen