Mukhairi Ajmal hampir sempurna -- Abu Bakar

Oleh Nafis Abdullah 4 Mei 2020 1713
Mukhairi Ajmal hampir sempurna -- Abu Bakar
Peningkatan prestasi dalam kalangan pemain bola sepak muda negara tidak boleh dinafikan dan bakat dimiliki mereka itu memberi gambaran jelas bahawa Malaysia sudah bersedia untuk melakar kejayaan lebih bermakna di peringkat tertinggi.

Antaranya ialah pemain tengah Selangor II, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang mengetuai cabaran skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 sehingga muncul naib juara.

‘Pakej’ pemain tengah sempurna dimiliki anak jati Pahang berusia 18 tahun itu serta kerja kerasnya membolehkan beliau meraih penampilan sulungnya dalam kancah Liga Super musim lepas bersama PKNP FC yang kini dikenali sebagai Perak II.

Muhammad Mukhairi memperkenalkan dirinya kepada peminat bola sepak tempatan sebagai seorang pemain muda bersusuk tegap serta berjiwa besar, dan ia dibuktikan dengan persembahan mengagumkan ketika berdepan Kedah pada aksi suku akhir Piala Malaysia 2019 yang menyaksikan beliau meledak satu gol.

“Apabila kita lihat beliau (Muhammad Mukhairi) dan lariannya bersama bola dan juga ketika tanpa bola, seolah-olah seperti satu perancangan sedang dibuat oleh beliau ketika itu,” jelas pengendali Perak II, Abu Bakar Fadzim kepada Bernama.

”Bukan senang kita nak tengok pemain muda yang begitu selesa di atas padang bersaing bersama lawan yang lebih berpengalaman luas. Saya berbangga kerana kita ada pemain muda seperti beliau yang berani membuat keputusan dan tidak teragak-agak di dalam padang,” tambah Abu Bakar.

Muhammad Mukhairi tidak seperti kebanyakan pemain skuad B-18 negara yang menerima pendedahan meluas sebagai pelatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, sebaliknya, bakat beliau diasah ketika menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor. 

Namun, itu tidak menghalang beliau daripada sentiasa berusaha keras dalam meningkatkan prestasinya dari semasa ke semasa sehingga Abu Bakar menyifatkan beliau antara pemain muda yang mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi.

“Tidak hanya dengan memiliki susuk badan yang tegap dan kemampuan membuat larian pantas, beliau juga mempunyai IQ yang sangat tinggi. Lihat saja gaya permainannya, beliau boleh mencorakkan perlawanan dan berfikir dalam tempoh yang singkat sebelum membuat hantaran bola.

“Beliau juga gemar datang daripada belakang untuk menutup ruang sebelum merampas bola dari pihak lawan. Itu adalah ciri-ciri pemain dengan kualiti yang sangat baik,” katanya.

Abu Bakar berkata pemain seperti Muhammad Mukhairi sentiasa ditagih mana-mana pasukan dan mengakui gembira kerana berpeluang bekerjasama bersama pemain itu sebelum ini.

Namun, pengendali berusia 48 tahun itu sebenarnya berharap jodohnya bersama Muhammad Mukhairi lebih panjang sebelum Selangor II menyambar pemain itu pada penghujung 2019.

“Saya rasa kehilangan apabila PKNP FC tutup dan beliau ambil keputusan untuk ke Selangor II kerana memang saya nampak beliau seorang pemain muda yang hampir sempurna. Disebabkan itu juga saya berani beri beliau peluang beraksi dalam Piala Malaysia.

“Memang saya nampak beliau (Muhammad Mukhairi) seorang pemain muda yang hampir sempurna dan mana-mana pasukan akan gembira untuk mendapatkan pemain muda berkualiti sepertinya. Tetapi dengan masa yang ada beliau tidak boleh cepat berpuas hati lagi,” tambahnya.

Menurut Abu Bakar, selepas berjaya membuktikan kemampuan bersaing bersama pemain senior, bekas anak buahnya itu kini hanya perlu meraih kejuaraan bersama pasukannya untuk terus meningkatkan namanya.

Selain Muhammad Mukhairi, antara pemain muda berbakat negara yang telah mencipta nama tersendiri adalah Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen