Mohd Zan dilantik ketua jurulatih Negeri Sembilan

Oleh Bernama 6 Disember 2018 1746
Mohd Zan dilantik ketua jurulatih Negeri Sembilan
Bekas ketua jurulatih Melaka United, Mohd Zan Mat Aris, 60, dilantik ketua jurulatih Negeri Sembilan bagi menghadapi Liga Perdana, musim depan.

Bekas ketua jurulatih Sarawak, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad, 59, pula dilantik selaku penolong jurulatih pasukan itu.

Majlis menandatangani kontrak perjanjian di antara Mohd Zan dan Mohamad Zaki bersama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berlangsung di Wisma PBNS, Seremban, hari ini.

Mohd Zan dan Mohamad Zaki (yang kedua-duanya berasal dari Negeri Sembilan) mengikat kontrak selama setahun, bermula Sabtu lalu. 

Turut hadir ialah Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tuanku Syed Idrus Al-Qadri, dan pengurus pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan, Mohd Khairollah Abd Latif.

Tunku Syed Razman berkata pelantikan kedua-dua mereka adalah berdasarkan kepada pengalaman luas sebagai bekas pemain kebangsaan dan juga jurulatih.

"Hala tuju Negeri Sembilan untuk tempoh dua tiga tahun ini adalah tertumpu untuk mengembangkan bola sepak di peringkat akar umbi memandangkan Negeri Sembilan beraksi dalam Liga Perdana musim depan," katanya

Sejajar dengan matlamat itu, PBNS akan lebih menumpukan kepada program pengambilan pemain tempatan dalam kalangan anak-anak Negeri Sembilan untuk mewakili pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

"Setakat ini, kami mempunyai 12 pemain lama yang masih mempunyai kontrak dan terpulang kepada Mohd Zan dan Mohamad Zaki untuk menentukan pengambilan pemain baru dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

"Manakala pengambilan pemain import pula adalah mengikut kemampuan kewangan kami. 

"Tentang penaja, ia masih dalam rundingan dan kami berharap ia akan membuahkan hasil yang menggalakkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zan berkata 12 pemain Negeri Sembilan yang sedia ada kebanyakannya adalah pemain muda dan itu merupakan satu cabaran bagi beliau untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Bagi saya, kebolehan dan semangat pemain itu yang paling penting. Jadi, saya tak boleh janji kami akan ke Liga Super.

"Apa yang penting, saya akan membentuk sebuah pasukan mantap yang akan memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Perdana, musim depan.

"Perancangan kami ialah untuk menggilap pemain muda, jadi kami perlu mengambil aspek itu. 

"Ramai pemain tempatan yang telah menghubungi saya tetapi saya perlu lihat kebolehan pemain tersebut sebelum mereka diserap ke dalam pasukan. 

"Dengan pemilihan pemain-pemain berkualiti dan perancangan yang betul, saya yakin kami boleh memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain," katanya.

-- BERNAMA  
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen