Bekas jurulatih Selangor dan Negeri Sembilan, K. Devan, dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih kelab MISC-MIFA bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA), Datuk T. Mohan, dalam sesi pemilihan terbuka pemain di Brickfields, hari ini.

Devan yang sebelum ini bertindak selaku pengarah teknikal pada musim lalu, diberi peranan itu apabila membantu MISC-MIFA kekal dalam Liga Perdana musim depan.

Menurut Mohan, selepas apa yang berlaku sepanjang musim ini, beliau meletakkan harapan MISC-MIFA mampu menempatkan diri dalam kalangan empat terbaik Liga Perdana.

“Pengalamannya banyak memberikan kelebihan kepada pasukan dan kami mahu beliau terus bersama kami,” katanya.

Sementara itu, Devan mahu membawa masuk lebih ramai pemain berpengalaman agar mereka mampu memberi cabaran kepada pasukan lain.

Hanya lima pemain musim lalu dikekalkan, termasuk penyerang dari Liberia, Kpah Sean Sherman.

“Kami mempunyai perancangan untuk mendapatkan beberapa pemain yang baru dibawa masuk ke dalam pasukan,” kata Devan.