Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia memberi talian hayat kedua kepada UKM FC untuk mengambil bahagian dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, pasukan yang menduduki tangga ketujuh Liga Perdana musim 2018 itu perlu mengemukakan perancangan lebih komprehensif tentang masa depan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Tatkala pintu masih belum tertutup rapat, jaminan itu diberi oleh Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, kepada pengurusan UKM.

Namun, Shazli meminta pihak UKM berusaha lebih dalam mengemukakan permasalahan lebih mendalam di samping menjelaskan kedudukan kewangan mereka bagi tempoh beberapa musim ini.

Lembaga Pengarah MFL telah menolak rayuan UKM pada 27 November lalu kerana tidak mengemukakan sebarang maklumat tambahan bagi menerima permintaan mereka menangguhkan pengesahan penyertaan yang sepatutnya berakhir 15 November lalu.

"Pengurusan UKM telah memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan menghantar rayuan selewat-lewatnya hari ini dan saya sedia maklum peringkat pentadbiran UKM FC sedang menyediakan surat tersebut.

"Kami akan menghantarnya kepada panel pengarah MFL untuk menentukan talian hayat kedua UKM," kata Shazli.

Selain itu, Shazli juga mengingatkan MFL tidak berniat untuk bertindak sebagai penghukum kepada UKM tetapi mahu semua pengurusan pasukan peka terhadap peraturan ditetapkan.

"Kami tidak boleh menerima sebarang pasukan yang mempunyai beberapa isu seperti tunggakan gaji dan hutang-hutang lama kerana ia akan menjejaskan kemasukan tajaan besar kepada MFL.

"Selain itu, kami juga mengingatkan pasukan lain agar tidak mengambil mudah perkara tersebut."