Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris, meluahkan kekecewaan terhadap anak buahnya yang berdepan penyudah tumpul hingga memaksa pasukan itu berpuas hati meraih satu mata dalam aksi terakhir liga, semalam.

Mat Zan mengharapkan kekurangan pemain UiTM menjadi kelebihan buat Negeri Sembilan, namun peluang yang terhidang disia-siakan anak buahnya.

Prestasi kurang memuaskan daripada skuad Jang itu tertumpu kepada kegagalan jentera serangan menyempurnakan peluang terhidang.

Bagaimanapun, Mat Zan mahu pemain segera beralih fokus dan mempersiapkan diri menjelang aksi Piala Malaysia.

"Perlawanan ini agak emosi tetapi kami agak kecewa kerana gagal meraih kemenangan," katanya.

Sementara itu, jurulatih UiTM, Ismail Zakaria, tidak terkilan gagal membawa skuad kendaliannya ke Liga Super, sebaliknya akan kekal fokus untuk penambahbaikan dan memantapkan pasukannya sebelum melangkah ke pentas elit saingan Liga Malaysia.

"Ini merupakan satu pengajaran buat mereka. Saya telah memberitahu bahawa mereka masih belum berada di tahap untuk beraksi dalam Liga Super. Mereka perlu menampilkan permainan yang lebih baik dan mendapatkan pengalaman yang lebih banyak sebelum beraksi dalam Liga Super," katanya.