Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menjelaskan tuntutan gaji enam pemain Kuantan FA yang diselesaikan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini hanya melibatkan musim 2016 dan bukannya kes tunggakan gaji selama 11 setengah bulan tahun ini.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, berasa lega dengan perkhabaran enam pemain itu yang telah menunggu selama setahun dalam menuntut gaji mereka.

Bagaimanapun, Kuantan FA masih belum terlepas sepenuhnya kerana ada isu lebih besar, iaitu tuntutan gaji seramai 15 pemain pada musim ini yang masih belum diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM.

Justeru, dia berharap perkara itu mampu menjadi permulaan positif dalam menyelesaikan isu tuntutan gaji 2017.

"Masih ada lagi pemain yang PFAM tunggu untuk tampil berbincang dengan Jawatankuasa Status FAM dan saya berasakan ia masih berkaitan dengan isu tunggakan gaji dalam tempoh yang lama.

"Kuantan FA perlu membayar jumlah keseluruhan tunggakan gaji itu," ujarnya.

Selain itu, Rezal mengesahkan Pulau Pinang muncul pasukan terbaru dipalit masalah tunggakan gaji selama dua bulan apabila tiga pemain skuad itu tampil membuat laporan kepada PFAM.

Namun, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memberi maklum balas akan cuba menyelesaikan masalah terbabit selewat-lewatnya bulan depan.

"Tentang masalah Pulau Pinang, pihak FAP menyatakan mereka masih lagi tiada pengurusan yang baru kerana belum ada lagi pelantikan baru seperti jawatan presiden.

"FAP memberitahu akan cuba membayar masalah gaji pemain selepas adanya pengurusan baru," katanya lagi.