Pengendali Sang Badak, Jelius Ating, setakat ini belum pasti sama ada dia akan dikekalkan sebagai ketua jurulatih pasukan berkenaan, musim depan.

Ketika ditemui di Kota Kinabalu baru-baru ini, beliau berkata kontraknya bersama skuad Sabah akan tamat pada penghujung bulan ini.

"Setakat ini, saya tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya (kontrak baharu). Apa yang saya tahu, pihak SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini bagi membuat keputusan berkaitan pasukan untuk musim depan.

"Bagaimanapun, saya akan meneruskan tugas saya kerana kontrak saya hanya akan tamat pada 30 November. Kami telah mula menjalani latihan dan kini saya juga telah mula membuat persiapan bagi kebaikan pasukan untuk musim depan," katanya.

Bekas pemain berusia 45 tahun itu berkata sama ada beliau kekal atau tidak, adalah penting bagi pasukan itu melakukan persiapan awal bagi menghadapi musim depan.

"Buat masa ini, saya telah memanggil kesemua pemain, termasuk yang tidak bersama pasukan pada musim lalu, untuk menjalani latihan.

"Kami akan cuba mencari pemain yang mampu menggalas tugas bersama Sabah. Kesemua mereka berpeluang tetapi mereka perlu tunjukkan kelebihan mereka kepada kami," ujarnya.