Ketua jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid, berbangga kerana diberi peluang mengendalikan pasukan yang pernah menjulangnya ketika bergelar pemain sambil menanamkan azam mengembalikan maruah pasukan Singa Utara itu.

Walaupun berasal dari Pulau Pinang, karier Manzoor lebih menyerlah sewaktu di Perlis dan boleh dianggap sebagai legenda pasukan itu.

Dia pernah menjulang dua gelaran Piala Malaysia bersama pasukan itu dan berasa terpanggil untuk mengembalikan zaman kegemilangan Perlis yang kian dilupakan.

"Saya tidak nafikan karier bola sepak saya banyak dihabiskan di Perlis dan banyak kejayaan yang saya kecapi bersama pasukan itu.

"Saya amat berbangga mendapat tugasan ini dan mahu membawa Perlis kembali ke zaman kegemilangan mereka seperti dulu," katanya.

Perlis antara pasukan terawal melakukan persiapan musim ini dan sedang giat menjalankan pemilihan pemain.

Menurut Manzoor, dia masih ternanti-nanti peluang Perlis ke Liga Perdana berdasarkan penarikan diri beberapa pasukan lain.

Namun, dia bersedia membawa cabaran itu tidak kira dalam liga mana mereka akan beraksi musim depan.

"Saya ditugaskan untuk menyediakan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Perdana, namun jika Perlis tidak layak ke liga itu, saya akan menyediakan pasukan terbaik bagi menghadapi Liga FAM dan akan layak ke Liga Perdana bagi musim berikutnya," tambahnya.