Mana pergi peruntukan RM8.2j? -- Raimi

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2018 8722
Mana pergi peruntukan RM8.2j? -- Raimi

Pemain pertahanan Pulau Pinang, Raimi Mohd Noor, bingung memikirkan kegagalan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) melunaskan pembayaran gaji pemain dan barisan kejurulatihan walaupun peruntukan RM8.2 juta telah diberikan kerajaan negeri, bulan lalu.

Masalah kewangan yang dihadapi FAP mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah meluluskan peruntukan RM8.2 juta untuk membayar tunggakan gaji yang ditanggung FAP.

Namun, sehingga kini barisan pemain dan jurulatih tidak mendapat jumlah tunggakan gaji sekitar lima ke tujuh bulan walaupun pihak FAP berjanji melunaskannya pada 15 Oktober lalu.

Ekoran itu, Raimi mengakui dia bersama rakan sepasukan terpaksa berhutang untuk memastikan kelangsungan perbelanjaan harian sehingga ada pemain yang sudah mendapat notis keluar rumah selain kereta yang ditarik pihak bank.

"Kami masih belum mendapat gaji pada 15 Oktober lalu, mereka kemudian menunda tarikh tersebut kepada 19 Oktober tetapi masih gagal melunaskan tunggakan tersebut.

"Kami sudah tidak sanggup menunggu, kami tertekan kerana terlalu banyak berhutang kerana tidak mendapat gaji," katanya.

Pembayaran gaji pemain gagal dilakukan FAP bermula Jun lalu, dengan hutang keseluruhan FAP kini mencecah RM11 juta, termasuk pembayaran gaji pemain musim lalu.

"Pihak pengurusan kerap menangguh gaji kami sejak bulan Disember tahun lalu.

"Kami sebagai pemain pernah beraya tanpa wang.

"Mereka berjanji akan melunaskan pembayaran gaji kami, namun kini sudah penghujung musim.

"Semua pemain sudah tidak mampu bersabar," tambah Raimi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen