Mafry, Ronny semakin hampir kembali ke pangkuan Sabah

Oleh Willie Jude 8 Disember 2017 2145
Mafry, Ronny semakin hampir kembali ke pangkuan Sabah
Dua bekas tonggak pertahanan Sabah, Mafry Balang dan Ronny Harun, dipercayai semakin hampir untuk kembali menyarung jersi Sang Badak.

Mafry dan Ronny yang berusia 33 tahun kini menjalani latihan bersama skuad kendalian Jelius Ating itu dan dua pemain itu juga dijangka diturunkan dalam aksi persahabatan bertemu pasukan dari Indonesia, PPLM Bina Sentra, di Stadium Likas, malam esok.

Mafry, yang sebelum ini berhijrah untuk beraksi dengan pasukan lain, termasuk Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, telah mula menjalani latihan bersama Sabah sejak tiga minggu lalu.

Sementara itu, Ronny yang juga bekas anggota skuad negara mula berlatih bersama pasukan negeri kelahirannya itu, semalam.

Ronny sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Kedah, Terengganu dan Sarawak.

Difahamkan, pihak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah mengadakan rundingan dengan dua pemain berkenaan dan keputusan dijangka dapat diketahui dalam masa terdekat.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen