Hasrat Felcra FC untuk mengintai peluang beraksi dalam Liga Perdana tidak kesampaian apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) hari ini mengumumkan Kuantan FA sudah mengesahkan penyertaan untuk kekal bersaing musim depan.

FMLLP semalam telah memberikan tempoh sehingga hari ini kepada Kuantan FA untuk memberi pengesahan terhadap penyertaan mereka.

Ia susulan Kuantan FA terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain musim ini apabila beberapa pemainnya membuat pendedahan dalam media.

Berikutan masalah itu, difahamkan Felcra FC adalah antara pasukan daripada saingan Piala FAM yang berminat menggantikan tempat mana-mana pasukan yang menarik diri.

Namun, Kuantan FA memberi reaksi balas mengenai perkara itu hari ini dan ia akan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah FMLLP di Johor Bahru esok untuk tindakan selanjutnya.

"Kami telah membuat persiapan bagi mesyuarat esok untuk membahaskan isu ini serta mendapatkan kata putus untuk menyemak kelayakan Kuantan FA untuk terus beraksi dalam saingan Liga Perdana," kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Mesyuarat itu juga akan memutuskan mengenai status Felda United sama ada kekal beraksi dalam Liga Super atau sebaliknya ekoran isu pelesenan kelab.

Turut akan dibincangkan, pasukan manakah yang akan menggantikan T-Team untuk beraksi dalam Liga Super musim depan setelah pasukan yang kini dikenali Terengganu FC II (TFC II) itu bersedia diturunkan ke Liga Perdana susulan penjenamaan semula pasukan terbabit, semalam.