'Lapan jam dalam bas!' itu tempoh perjalanan yang terpaksa ditempuhi skuad Kelantan untuk mengharungi aksi Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Selayang Sabtu ini.

Ini susulan The Red Warriors terpaksa menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur buat kali pertama ekoran kedaifan yang dialami pasukan itu ketika ini.

"Perjalanan panjang ini agak memenatkan kami sepasukan. Namun ia bukanlah alasan dan akan cuba memberikan yang terbaik ketika berdepan UKM," kata jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.

Masalah ini timbul susulan kewangan meruncing yang melanda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Setakat ini, barisan pemain dan jurulatih The Red Warriors masih belum menerima pembayaran gaji penuh sejak April lalu.

Begitupun, mereka tetap komited dengan tugas masing-masing apabila terus menjalani latihan walaupun baru sahaja sampai di Kuala Lumpur.

Yusri membariskan seramai 19 pemain untuk pertemuan menentang UKM FC, tanpa kelibat kapten pasukan, Nazri Nawi ekoran kecederaan.

"Saya menasihatkan pemain-pemain perlu berusaha. Semestinya UKM memiliki kelebihan tetapi ini adalah peluang buat Kelantan untuk membuktikan kemampuan mereka."

Sementara itu, jurulatih UKM, Sulaiman Hussin, menegaskan tiada istilah kelebihan untuk pasukannya biarpun Kelantan dibelenggu isu tunggakan gaji ketika ini.

Sebaliknya, Sulaiman mahu anak buahnya waspada dengan ancaman The Red Warriors bagi mengelak pasukannya jadi mangsa kejutan lawan dalam pertemuan itu nanti.

"Saya enggan memikirkan masalah yang dihadapi Kelantan. Mereka hadir ke dalam perlawanan ini dengan misi mendapatkan kemenangan, sama juga dengan UKM," kata Sulaiman.

Sulaiman terpaksa menagih kudrat pemain tempatan susulan kehilangan tiga pemain import ekoran kecederaan dan belum melapor diri selain atas faktor sudah dilepaskan daripada UKM.