KUFC tunggu jalani ujian swab

Oleh Farizal Yusoff 22 Jun 2020 58
KUFC tunggu jalani ujian swab
Hanya satu sahaja lagi prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilengkapkan Kelantan United FC (KUFC) bagi membolehkan mereka turun menjalani latihan secara rasmi.

Setiausaha Eksekutif KUFC,  Wan Mohd Zul Ikman, berkata pihaknya sedang berunding dengan hospital kerajaan bagi menjalani ujian swab sebagai fasa terakhir sebelum surat kebenaran diperoleh.

"Setakat ini, KUFC telah selesai melantik seorang pegawai penyelaras, Mohammad Khairul Firdaus Mohd Zain, yang akan bertugas memastikan setiap sesi latihan yang kami buat mengikuti SOP.

"Kami telah masuk peringkat terakhir dan menjangkakan selewat-lewatnya awal bulan depan untuk skuad Kijang Hijau ini diberikan kebenaran menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini pemainnya, Wan Mohd Zul menjelaskan hanya pertahanan kental KUFC, Ahmad Nazri Muhamad, terpaksa melupakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.

"Ahmad Nazri terpaksa melupakan saingan Liga-M musim ini tetapi semua pemain lain sudah tidak sabar untuk turun menjalani latihan bersama.

"Kami juga akan memberi peluang kepada pemain skuad Piala Presiden untuk turun menjalani latihan bersama skuad senior sambil cuba memikat perhatian Zahasmi.

"Kami akan melakukan yang terbaik dalam baki tujuh perlawanan liga demi mencipta sejarah baru layak ke saingan Liga Super musim depan," ujarnya.

Untuk rekod, beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Terengganu FC II, UiTM FC dan Selangor II, telah mula menjalani latihan sebagai persediaan menyambung semula Liga-M yang dijangka September depan.

Kredit Foto: KUFC

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen