Persiapan menyambut Aidilfitri skuad Kelantan United FC (KUFC) semakin bermakna apabila Amateur Football League (AFL) menyerahkan wang tunai RM 30,000 sebagai hadiah utama menjuarai Liga M3 musim lalu.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur Liga M3, AFL, yang menunaikan janji untuk menyerahkan hadiah kemenangan itu kelmarin.

"Alhamdulillah, pihak pengurusan tertinggi KUFC membuat keputusan mengagihkan ganjaran itu secara sama rata kepada semua pemain dan pegawai yang berada dalam skuad musim lalu, termasuk beberapa pemain yang tersingkir dalam pintu perpindahan kedua.

"Semoga ganjaran yang dinikmati ini menjadi motivasi tambahan kepada semua pemain The Green Deers untuk terus mengekalkan prestasi memburu kejayaan dalam Liga Perdana pula musim ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Zul gembira dengan tahap disiplin pemain KUFC yang melakukan latihan di rumah masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Alhamdulillah, pemain dapat ikuti segala program latihan yang dirangka oleh barisan kejurulatihan KUFC.

"Latihan di rumah cukup penting kerana sebagai pemain profesional, mereka mesti menjaga kesihatan dan kecergasan kerana Liga Malaysia (Liga-M) baru sahaja bermula," tambahnya.

Untuk rekod, KUFC kini berada di tangga kedua dengan sembilan mata hasil empat perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Terengganu FC II, sebelum liga ditangguhkan akibat penularan wabak Covid -19.


Kredit Foto: KUFC