Kuala Lumpur tidak kisah dilabel sebagai pasukan 'kuda tua' apabila mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka, Shukor Adan, untuk cabaran Liga Perdana 2020 tatkala skuad Warga Kota itu kini dibimbing Nidzam Adzha Yusoff.

Kuala Lumpur antara pasukan yang melakukan rombakan besar-besaran selepas turun ke Liga Perdana -- mengekalkan tujuh pemain daripada skuad 2019, dengan The City Boys merekrut 16 muka baru, termasuk Shukor, yang akan menjadi pemain paling senior buat pasukan itu selain Indra Putra Mahayuddin.

"Pencapaian yang diraihnya agak membanggakan. Pengalamannya sesuatu yang berharga dan tidak mustahil dapat mengetuai pasukan kembali ke kancah Liga Super," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Sementara itu, ini merupakan kali pertama Nidzam menggalas tugas sebagai ketua jurulatih secara rasmi selepas menjadi pemangku ketua jurulatih ketika bersama Kedah.

Mengulas mengenai pemilihan Nidzam selaku pengendali baru skuad Warga Kota, ini reaksi Nokman: "Beraksi dalam Liga Perdana, kami cuba mengambil khidmat jurulatih tempatan berbanding import.

"Kehadiran Nidzam sebagai seorang jurulatih muda diharap dapat menghadirkan corak permainan yang baru dan sesuatu yang berbeza."