Kuching FA mengambil pendekatan menimba pengalaman bersama pasukan 'senior' Liga Perdana dalam mendapatkan pandangan serta idea untuk lebih bersedia daripada segala aspek selepas muncul sebagai pendatang baru musim depan.

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, tidak menafikan bukan mudah sebenarnya buat setiap pasukan mengharungi Liga Super atau Liga Perdana yang mana mereka sememangnya memerlukan peruntukan sewajarnya untuk memastikan mereka mampu bertahan lebih lama dalam liga.

Bagaimanapun, dia memuji rata-rata pasukan yang lebih berpengalaman seperti Selangor, Pahang, Perak dan lain-lain yang sedia untuk berkongsi pendapat dan nasihat bagi memastikan pasukan baru lebih bersedia dengan pelbagai perancangan agar mampu bertahan sehingga akhir musim.

"Seperti saya nyatakan tadi, ini kali pertama kami datang dan apabila dilihat perbincangan semalam dan hari ini, ia menjadi satu proses pembelajaran buat kami.

"Pasukan lebih berpengalaman berkongsi idea dan pandangan. Kami menggunakannya untuk mempersiapkan pasukan dalam usaha mengelakkan sebarang masalah. Terima kasih buat mereka yang memberi sokongan," katanya.

Berhubung penyertaan Sarawak United yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana 2020 bagi slot Selangor United FC, Fazzrudin cukup teruja dengan kehadiran pasukan itu yang turut sama membawa nama negeri Bumi Kenyalang itu.