Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, menyahut cabaran Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur untuk menjuarai Liga Perdana musim ini walaupun bakal kehilangan khidmat pemain tengah, Zhafri Yahya, pada awal musim akibat kecederaan.

Hari ini, skuad The City Boys mengadakan majlis pelancaran dan pengenalan pasukan bagi musim ini dan ketika ditemui, Nidzam Adzha melaungkan keyakinan mampu menjuarai Liga Perdana.

"Sejak pertemuan dengan presiden, beliau telah menyatakan hasrat persatuan. Saya yakin kami dapat capai sasaran mara ke Liga Super musim depan," katanya.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur berdepan cabaran apabila tonggak tengah, Zhafri, mengalami kecederaan lutut dan pengesahan doktor akan diketahui Isnin depan.

"Semalam kami menerima satu kecederaan pemain. Diharapkan dia sempat pulih sebelum aksi pertama," tambah Nidzam Adzha.

Kuala Lumpur akan memulakan kempen Liga Perdana menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Keempat, 29 Februari ini.