Kuala Lumpur hanya semusim dalam Liga Perdana -- Khalid

Oleh Staff Writer 24 November 2019 4075
Kuala Lumpur hanya semusim dalam Liga Perdana -- Khalid
"Saya akan pastikan Kuala Lumpur hanya semusim dalam Liga Perdana," kata Khalid Abdul Samad selepas menang tanpa bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam kongres ke-32 badan induk itu hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2019-2023 selepas pencabarnya, Rashid Hasnon, tidak mendapat cukup pencalonan. 

Syarat minimum untuk seseorang individu bertanding merebut jawatan presiden memerlukan sekurang-kurangnya 11 pencalonan daripada ahli gabungan.

Rashid, bagaimanapun, hanya meraih empat pencalonan, sekali gus gagal mencabar Khalid yang mendapat 18 daripada 22 pencalonan ahli gabungan.

"Perkara pertama adalah untuk keluar daripada Liga Perdana.

"Insya-Allah, kami hanya akan berada dalam Liga Perdana hanya untuk satu musim.

"Kemudian kami akan kembali ke Liga Super.

"Selepas dapat ke Liga Super, kami akan mencuba untuk menduduki kelompok empat teratas," katanya.

Dalam pada itu, Khalid akan mengadakan perbincangan tentang masa depan pasukan itu yang terpaksa diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

"Kami akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menentukan perancangan dan masa depan KLFA.

"Kami juga akan menetapkan jurulatih, pengurus dan pemain," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen