Kuala Lumpur menamatkan penantian selama 17 tahun untuk bergelar juara Liga Perdana biarpun tumbang dalam perlawanan terakhir musim ini di Pasir Gudang berikutan kekalahan Terengganu kepada PKNP FC, malam ini.

Kuala Lumpur dan Terengganu yang layak ke saingan Liga Super 2018 terikat 47 mata namun kelebihan jaringan memihak kepada skuad Warga Kota.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur berdepan tugas sukar ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II apabila dikejutkan dengan gol pendahuluan oleh Jeronimo Barrales.

D. Saarvindran dan Nico Fernandez terus menjadikan situasi pelawat bertambah sukar apabila masing-masing menyumbat gol sebelum Guilerme de Paula mencetak gol saguhati yang merupakan gol ke-27 peribadinya musim ini.

Situasi perlawanan menjadi agak tegang seketika yang menyaksikan kedua-dua pasukan mengakhiri permainan yang berkesudahan 3-1 itu dengan 10 pemain.

Terengganu yang bertandang ke Ipoh, Perak, turut gagal melaksanakan misi mereka apabila tewas 3-1 kepada kepada PKNP FC.

Meskipun bermula positif dengan gol awal Tchetche Kipre pada awal separuh masa pertama, namun anak buah Abu Bakar Fadzim bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua menerusi Gilberto Fortunato dan dua gol lagi diledakkan oleh Kim Hyun-woo.

Sementara itu, MISC-MIFA berjaya kekal dalam saingan divisyen dua itu apabila tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan selesa, 3-0, ke atas PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Keputusan itu sekaligus menyingkirkan ATM dan Perlis ke saingan Piala FAM musim depan.

Perlis yang memerlukan kemenangan untuk kekal bagaimanapun dikecewakan oleh ATM menerusi kemenangan 2-1, sekaligus menduduki tangga tercorot Liga Perdana.

KEPUTUSAN PENUH:

MISC-MIFA 3 PDRM 0

PKNP FC 3 TERENGGANU 1

UiTM FC 4 Kuantan FA 1

Sabah 2 Negeri Sembilan 1

JDT II 3 Kuala Lumpur 1

ATM 2 Perlis 1